Saturday, June 18, 2011

"Soal Ref" Bersama Subkhiddin Salleh #4

Hey guys, lama dah saudara pengadil ulung kita, Subkhiddin Salleh, tidak beraksi di dalam blog ini! And now he's back. Macam biasa, aku release post untuk jawapan sedikit demi sedikit. Di samping itu, aku turut sertakan sedikit gambar dari Final Piala Malaysia 2010 yang diadili oleh Subkhiddin Salleh. Terima Kasih DS Images.
 



1) Apakah peraturan FIFA mengenai pembakaran mercun di dalam stadium? Maksud saya, kita telah lihat pada perlawanan akhir Piala FA yang baru ini, pengadil perlawanan telah memberhentikan perlawanan. Apakah peraturan FIFA dalam hal sebegini?


Untuk saya menjawab soalan ini, terlebih dahulu kita perlu mengenalpasti dan membezakan di antara peraturan’ dan ‘undang-undang’

Secara ringkasnya peraturan akan dibentuk dan diserahkan kepada semua pasukan SEBELUM sesuatu kejohanan atau liga yang ingin dianjurkan akan dipertandingkan secara rasmi. Peraturan diperlukan untuk menyelaraskan sesuatu pertandingan agar ianya bersesuaian dengan masa, sensitiviti masyarakat, keselamatan, disiplin, budaya setempat dan pelbagai perkara lagi yang secara umumnya adalah untuk memastikan penganjuran pertandingan berdasarkan kepada satu pakatan yang standard.

Oleh itu kita sering terdedah kepada banyak peraturan pertandingan seperti peraturan yang disediakan pada pertandingan peringkat Liga Daerah, Liga Negeri, MSSM, FAM, AFC, FIFA dan pelbagai peraturan lagi sehinggakan permainan 7 sebelah yang popular dimainkan dikampung-kampung juga disediakan peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pasukan bertanding dan sudah pasti ianya bertujuan untuk mendapatkan keseragaman dan pematuhan supaya pasukan yang menjadi JUARA tidak akan pertikaikan.


Perlu diingatkan bahawa peraturan pertandingan yang digubal tersebut tidak boleh sama sekali pada bila-bila masa penggunaanya dibolehkan untuk mengatasi Undang-Undang Permainan [Laws of The Game – LOG] yang telah digubal oleh International Football Association Board [IFAB].

Sebagai contoh,  [LOG] menyatakan jika seorang pemain yang bersalah dan dikenakan kad merah maka pemain tersebut hendaklah diperintah keluar padang permainan, maka peraturan pertandingan pula tidak boleh menyatakan sebaliknya [Contohnya; membenarkan pemain tersebut untuk terus bermain]


Berkaitan isu pembakaran mercun pula seseorang Pengadil yang bertugas perlu merujuk kepada Undang-Undang 5 - Pengadil

Undang-Undang 5; memperuntukkan kuasa dan tugas kepada Pengadil untuk memberhenti, menangguh atau membatalkan perlawanan yang sedang dimainkan jika pada pertimbangannya atau budibicaranya berlaku perlanggaran undang-undang atau gangguan dari pihak luar yang pada pendapatnya boleh menyebabkan kecederaan dan sebagainya jika permainan diteruskan.
Saya percaya Pengadil pada perlawanan akhir tersebut telah membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk memberhentikan sementara permainan berikutan curiga dengan tahap keselamatan semua pihak yang terlibat khususnya pemain-pemain. Beliau seterusnya telah menyambung semula permainan setelah berbincang dan sudah pasti yang terpenting ialah mendapat jaminan keselamatan oleh mereka yang berkenaan.  

 Seterusnya pegawai ke-empat ‘the fourth official’ akan menunjuk atau memaklumkan jumlah minima tambahan masa yang telah diputuskan oleh pengadil pada minit terakhir masa permainan. Contohnya pada setiap minit terakhir 45’, 90’ [jika tiada tambahan masa] dan pada minit 105’ dan 120’ [jika berlaku tambahan masa]


2) What is your opinion on local referee officiating level and how to improve on it as i think the level is too low currently. - RED, Lowyat.net

Saya berpendapat kemampuan dan mutu pengadilan sebahagian besar Pengadil di negara kita masih berada pada tahap yang boleh dibanggakan dan seiring dengan skil dan mutu permainan yang dimainkan oleh pemain-pemain profesional ketika ini. Namun begitu saya juga tidak dapat menolak tanggapan negatif sesetengah pihak yang sering mempertikaikan mutu pengadilan kita, kerana mereka juga adalah sebahagian daripada pemerhati dan berhak menilai dari sudut pandangan mereka yang tersendiri. 

Untuk menyediakan Pengadil yang berkualiti dan dalam jumlah yang besar untuk mengadili sesuatu kejohanan seperti Liga-M, bukanlah satu perkara yang mudah tetapi tidak juga mustahil. Adalah sangat penting untuk mendapatkan kerjasama dari semua pihak seperti; media, pemberita, penonton, penyokong, pengkritik, pengurus, jurulatih, pemain, semua mereka yang terlibat dengan permainan ini dan lebih-lebih lagi sudah tentulah kumpulan Pengadil itu sendiri perlu ikhlas untuk berusaha merubah kepada yang lebih baik.  

Pengadil juga tidak ubah seperti pemain bolasepak, mereka memerlukan kekerapan latihan yang sistematik bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk mengharungi kancah bolasepak moden. Oleh itu pihak yang berkaitan perlu bersedia mengorbankan sebahagian peruntukan mereka untuk menyediakan program dan latihan yang lebih berkualiti dengan kerjasama semua pihak seperti AFC dan FIFA. Jika pemain boleh dihantar untuk menimba ilmu diluar negara kenapa tidak Pengadil?


3) What is your opinion on the inactive offside rules? Sebagai contoh, referee yang sering membenarkan gol yang secara jelas dilihat sebagai offside. - Lowyat.net

Di dalam permainan bolasepak jaringan atau jumlah jaringan gol akan menentukan siapakah yang akan dinobatkan sebagai pemenang dan jaringan gol jugalah akan menceriakan penonton dan penyokong yang menyaksikan sesuatu perlawanan. 
Oleh itu mendapatkan GOL adalah agenda penting dalam setiap perancangan dan persiapan rapi bagi sesebuah pasukan yang bertanding.

Perlu diingatkan bahawa seseorang pemain yang berkedudukan ofsaid bukanlah satu kesalahan yang perlu dihukum dengan serta merta sebagai ofsaid. Pengadil dan dengan bantuan daripada Penolong Pengadil, mereka terlebih dahulu akan menentukan samada pemain tersebut TELAH; mengganggu permainan atau mengganggu pihak lawannya atau mendapat keuntungan dengan berada pada kedudukan ofsaid tersebut. Jika terdapat salah satu daripada perkara tersebut baharulah permainan akan dihentikan dan hukuman ofsaid dilaksanakan.


Seringkali juga berlaku peristiwa dimana Penolong Pengadil ‘dicemuh’ apabila mereka sedikit agak lambat mengibarkan benderanya untuk menarik perhatian Pengadil bagi mengesahkan seseorang pemain itu perlu dihukum kerana kedudukan ofsaidnya. Situasi seperti ini berlaku disebabkan mereka perlu memastikan terlebih dahulu kedudukan ofsaid seseorang pemain itu samada ‘aktif’ atau tidak ‘aktif’ melalui teknik tunggu dan lihat [wait and see technique]


Prinsip dan proses seperti yang dijelaskan inilah banyak membantu untuk menjadikan permainan menjadi lebih menarik, lancar dan sentiasa bergerak untuk dimainkan berbanding jika sering DIHENTIKAN hanya untuk menghukum ofsaid yang tidak perlu. 

No comments:

Post a Comment