Seperti yang telah dijanjikan, minggu ini akan bermulanya segmen baru, iaitu "Hard Talk bersama Blogger Jemputan", yang akan menampilkan pendapat para pengkritik sukan tanah air, sama ada dari lidah seorang wartawan, mahupun peminat yang mempunyai kredibilti yang tersendiri. Untuk permulaan, ikuti pendapat seorang wartawan sukan ESPNSTAR.my yang kini sedang berkelana di Singapura iaitu Aysha Ridzuan.
Aysha Ridzuan(ESPNSTAR.my)
Saya mula menonton bola sepak pada usia 10 tahun. Mungkin ini membuatkan saya tipikal seperti kaum hawa yang lain kerana berani saya katakan minat saya mula kerana David Beckham. Masa itu Beckham masih bersama Manchester United. Bapa saya penyokong tegar Manchester United sejak tahun 70an lagi jadi saya pun terikut-ikut dengan minatnya sehingga kini.
Dari setiap perlawanan Manchester United yang saya tonton bersama bapa saya, serba sedikit saya belajar tentang bola sepak. Tentang pemain, peraturan dan lain-lain lagi. Minat saya semakin mendalam dan saya mula ikuti perlawanan pasukan BPL yang lain pula.
Jujur saya katakan sepanjang saya mendalami minat dalam bola sepak, saya tidak pernah langsung mengikuti Liga Malaysia. Tiada siapa yang pernah mendorong saya untuk menonton bola sepak Malaysia, termasuk bapa saya. Jadi saya memang tidak pernah ambil tahu tentang Liga Malaysia. Saya tak salahkan dia kerana dia ada sebab tersendiri mengapa dia tidak mengikuti Liga Malaysia lagi.
Tetapi dalam masa yang sama pada usia saya belasan tahun itu, saya juga tertanya mengapa cuma sedikit penyokong bola sepak Malaysia? Adakah bola sepak Malaysia tidak bagus? Atau kerana bola sepak Malaysia tidak menarik?
Tahun 2012 adalah tahun pertama saya mengikuti Liga Malaysia. Saya seperti pelajar baru di sekolah. Tanpa kenalan dalam dunia bola sepak Malaysia pada mulanya dan juga ilmu bola sepak Malaysia yang sedikit.
Saya cuba menanam minat dalam bola sepak Malaysia. Tambah menarik apabila tahun pertama saya ikuti bola sepak Malaysia ini juga merupakan tahun Singapura kembali semula ke Liga Malaysia selepas 17 tahun.
Saya belajar serba sedikit tentang bola sepak Malaysia. Dari Piala Sumbangsih yang setanding dengan Carling Cup, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia yang masih belum bermula tahun ini. Lebih banyak lagi saya belajar apabila musim ini, pasukan-pasukan Liga Malaysia mempunyai pemain import yang menambahkan lagi daya tarikan Liga Malaysia.
Tetapi malangya setelah hampir setengah musim berlalu, bola sepak Malaysia dilanda berita-berita seperti gejala rasuah dan juga masalah dalaman pasukan bola sepak negeri yang tidak pernah selesai.
Saya sebagai peminat baru bola sepak Malaysia sedikit kecewa dengan perkara-perkara seperti ini. Bola sepak adalah satu sukan yang menarik dan paling popular di seluruh dunia tetapi perkara seperti ini mencalarkan imej bola sepak Malaysia. Saya tahu ini bukan satu perkara baru tetapi itu tidak semestinya ia harus berterusan. Orang kata 'dah biasa'. Tetapi mereka lupa bahawa tidak baik untuk biasakan benda yang tidak baik.
Bola sepak Malaysia baru sahaja berjaya mendapatkan semula kepercayaan dan minat rakyat Malaysia. Mungkin ada yang mengatakan bola sepak Malaysia pada satu masa dahulu kurang mendapat sambutan. Tetapi tidak ramai yang bertanya mengapa bola sepak Malaysia kurang mendapat sambutan?
Jika tahun 2012 gejala rasuah dan juga masalah-masalah lain dalam pengurusan bola sepak negeri masih lagi timbul, saya tidak akan terkejut jika satu hari nanti bola sepak Malaysia gagal lagi untuk mendapat sambutan. Rakyat kini sudah bijak menilai dan kepercayaan mereka harus dihormati, bukan diambil mudah.
Saya penyokong baru bola sepak Malaysia yang sedang cuba lagi memupuk minat. Untuk seseorang itu meminati atau menyokong sesuatu adalah mudah tetapi bukan mudah untuk mengekalkan minat dan sokongan untuk selamanya.
Jadi persoalannya, bola sepak Malaysia mahukan penyokong buat sementara waktu atau penyokong buat selamanya?
Aysha Ridzuan merupakan seorang wartawan sukan kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat untuk ESPNSTAR.my yang bertapak di Singapura. |
nice post, she looks stunning!
ReplyDelete