Saturday, May 14, 2011

"Soal Ref" bersama Subkhiddin Salleh #2

Disebabkan blogger.com agak hampeh semalam, blog ini telah mengalami kerosakan minor iaitu sesetengah comments anda hilang dan post mengenai saudara Subkhiddin Salleh juga lesap tanpa kesan. Oleh itu, aku post kembali sesi bersama Subkhiddin Salleh. Ada banyak soalan terkumpul, cuma aku asingkan mengikut post kerana jawapan yang diberikan agak panjang. Kini beliau sedang berehat daripada sebarang aksi di padang kerana calf muscle beliau telah koyak. Kata beliau, "Bercuti SAKIT tetapi banyak pula kerja sekolah yang nak kena BELEK"



1) Assalamualaikum ref Subkhiddin. Saya berminat untuk menjadi seorang pengadil bola sepak di Malaysia, dan bagaimana caranya? Selain itu, berapakah pendapatan purata yang diperoleh oleh seorang pengadil di Malaysia dan juga seorang pengadil di Piala Dunia?


Adakah anda ingin menjadi sebahagian daripada mereka?

Saya percaya ramai di kalangan peminat bolasepak tanahair yang menaruh minat, berangan-angan dan bercita-cita untuk mendekati, mendalami, mempelajari dan seterusnya mengorak langkah panjang untuk beraksi bersama-sama dengan pemain bolasepak handalan dalam liga tempatan negara kita malah sudah tentu berkeinginan untuk mara lebih jauh lagi ke peringkat antarabangsa bersama-sama dengan pemain-pemain ternama dunia.

Percayalah..pada ketika itu baharulah anda akan dapat merasai dan menjiwai sepenuhnya sentuhan, cabaran dan nikmat yang tersemat dalam dunia bolasepak.

Subkhiddin Salleh (dua dari kiri)

Bayangkan anda sedang beraksi dan berinteraksi dengan 22 orang pemain terbaik dari setiap pasukan diatas padang permainan dan dengan hanya satu tiupan wisel sahaja... Pada masa yang sama anda juga perlu berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah dari ‘kawasan teknikal’ pasukan dengan setiap seorang daripadanya terpacak memberikan arahan..tidak hanya kepada pemain malahan pada kebanyakan ketika cuba melakukan ‘provokasi’ agar anda memberikan respon yang baik kepada pasukannya.

Bagaimanapun tekanan yang paling hebat yang akan membuatkan anda teruja untuk terus berada di atas padang sudah tentunya datang daripada kesepaduan warna beribu-ribu peminat dan penyokong yang mewakili pasukan mereka yang memenuhi setiap ruang kosong dengan jeritan, aksi, sorakan dan bunyian yang menggamatkan stadium bermula dari sepak mula lagi. Aksi spontan ini akan bertambah-tambah lagi apabila jaringan gol dihasilkan dan apatah lagi jika tiupan wisel anda tidak menyebelahi pasukan pilihan mereka.

"Kerenah"

Apapun ‘gelora 90 minit’ belum pasti berakhir sebaik tiupan wisel terakhir anda!,.. bangunlah seawal pagi pada hari berikutnya dan nikmatilah pelbagai komen melalui media massa, laman sosial, bloggers dan akhbar perdana. Nak jawab? Pendamkan sahajalah kerana anda terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan!..dan yang pasti terimalah ianya sebagai sebahagian daripada ‘kehidupan’ yang perlu dikongsi bersama keluarga tersayang.

Keluarga Subkhiddin

Bagaimanakah hendak memulakan kerjaya sebagai seorang Pengadil di Malaysia?

1. Anda perlu mendaftar sebagai pengadil bolasepak dengan PB.Negeri di tempat pilihan anda sendiri, sebagai contohnya jika anda tinggal dan bekerja di Kelantan maka adalah lebih sesuai jika anda berdaftar dengan PB.Negeri Kelantan, tetapi terdapat juga pengadil yang berdaftar di tempat yang berlainan dari tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, terdapat sebilangan besar pengadil yang lebih selesa untuk mendaftarkan diri sebagai pengadil bolasepak di negeri tempat mereka bekerja dan bukannya di PB.Negeri tempat tinggal tetap mereka.

Di mana sekalipun anda berdaftar, ianya bukanlah satu kesalahan tetapi apa yang lebih penting ialah keyakinan dan keselesaan untuk anda meneruskan kerjaya anda sebagai Pengadil yang berjaya.

2. Di setiap P.B.Negeri terdapat Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri [PPPN] yang dilantik oleh FAM dan dengan persetujuan P.B.Negeri. Mereka inilah yang akan menjadi kepada titik permulaan kerjaya anda dengan bertanggungjawab untuk mengatur permohonan, penyediaan kelas teori pengajian undang-undang permainan bolasepak terkini, penyediaan tempat dan juga latihan berbentuk fizikal yang akan membuatkan anda ‘ketagihan’ untuk berlari sepanjang masa permainan.


Ujian Kecergasan

Terdapat 3 tahap pengujian yang anda perlu atasi sebelum dibenarkan untuk mengadili sebarang pertandingan anjuran FAM. Tiga tahap yang meliputi tempoh masa yang tertentu itu ialah ujian Kelas III, Ujian Kelas II dan yang terakhir sekali ialah Ujian Kelas Kebangsaan yang mana jika anda berjaya melepasinya maka anda dibolehkan untuk beraksi di dalam Liga Malaysia. Setiap tahap ujian tersebut pula adalah meliputi Ujian Teori, Ujian Kecergasan dan Ujian Praktikal yang memerlukan anda mengendalikan perlawanan di antara dua pasukan.

Setiap ujian itu pula mempunyai tahap kesukaran yang berbeza tetapi yang pasti anda akan mula menyukainya setelah dapat menguasainya dengan baik. Perbualan dan perbincangan anda berkaitan dengan isu bolasepak juga akan bertambah yakin setelah melepasi tahap Kelas II dan apatah lagi setelah melepasi Kelas Kebangsaan.



Pengadil Kelas Kebangsaan

Proses perkembangan kerjaya ini mungkin akan mengambil masa sehingga 6 tahun untuk membolehkan anda mencapai tahap Pengadil Kelas Kebangsaan. Semasa berada di dalam kategori inilah, prestasi anda akan diperhati dan diberi penilaian oleh Jawatankuasa Pengadil FAM. Sekiranya anda didapati berbakat dan diyakini mampu membawa cabaran yang lebih besar, maka sudah tentu nama anda akan dicadangkan untuk diberi pengiktirafan sebagai Pengadil FIFA dan akan akan bermulanya persaingan anda diperingkat antarabangsa...

Berapakah pendapatan sebagai seorang Pengadil?

Secara ikhlasnya pendapatan sebenar sebagai seorang pengadil ialah ‘KEPUASAN’ dan ‘PENGALAMAN’ yang dikecapinya yang tidak mungkin mampu diperolehi oleh orang lain.
Bagaimanapun secara kasarnya bolehlah saya katakan pendapatannya tidak menentu tetapi sangat menarik untuk menjadi ‘side income’ buat belanja dapur, family dan rakan-rakan.

Bagi setiap perlawanan di dalam liga tempatan jumlah yang bakal diperolehi adalah tidak kurang daripada RM300.00.
 

Untuk perlawanan diperingkat antarabangsa pula sebagai contohnya AFC Champions League, seseorang Pengadil FIFA akan menerima sejumlah USD900.00 manakala AFC Cup pula sejumlah USD500.00. Di Piala Dunia, seseorang Pengadil akan menerima ‘elaun harian’ sejumlah USD200.00 dan mereka juga akan diberikan bonus tambahan bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Presiden FIFA atas nasihat jawatankuasanya.

World Class Referee : Yuichi Nishimura(Japan)
World Class Referee : Khalil Al Ghamdi(UAE)

2) Apakah kelebihan seorang pengadil yang mendapat logo FIFA di bajunya berbanding pengadil yang hanya memakai logo FAM di bajunya?

Kebanyakan pengadil bolasepak di Malaysia memulakan kerjaya mereka pada usia yang agak lewat iaitu sekitar usia pertengahan 20an,  di mana mereka memberikan tumpuan kepada bidang kerjaya tetap masing-masing terlebih dahulu.
Oleh itu, umur yang terbaik untuk memulakan kerjaya ini ialah pada usia ‘18 tahun ke bawah’ dan mereka akan mencapai tempoh matang yang terbaik untuk dicalonkan sebagai Pengadil FIFA pada usia mereka mencecah 24 tahun. Seterusnya peluang untuk mereka dicalonkan sebagai Pengadil Akhir Piala Dunia akan lebih terbuka luas untuk diberikan perhatian dan penilaian oleh pihak tertentu yang berkaitan dengan pemilihan tersebut.
Pengadil FIFA; Howard Webb
Pengadil Piala Malaysia

Apa yang boleh saya huraikan ialah, Pengadil FIFA lebih berpeluang besar untuk mendalami lebih banyak ilmu dengan mengadili perlawanan-perlawanan yang lebih berkualiti di luar negara samada anjuran AFC ataupun FIFA.
“Tidak semua yang memperolehi lencana FIFA adalah terbaik atau lebih baik daripada mereka yang hanya mempunyai lencana FAM sahaja”.

No comments:

Post a Comment